Kadangkala petua-petua yang kita dengar dari orang-orang tua tidak boleh dipakai langsung. Kadang-kadang pula petua itu amat berguna dan mempunyai rahsia disebalik ‘boleh’ dan ‘pantang larang’ mereka.

Pernahkah anda mendengar bahawa lelaki dilarang untuk makan sayur taugeh? Pantang larang orang tua-tua berkenaan taugeh ini selalunya didengar begin, “Lelaki jangan makan taugeh, nanti lemah, lembik dan tidak berdaya alatnya sepertimana juga sifat taugeh tersebut”. Lalu ramai lah lelaki menghindari dari makan taugeh.

Seperti juga pantang-larang yang mengatakan jika makan kucai kita akan mendapat penyakit gatal-gatal kulit. Kesemua yang kita dengar itu tidak ada bukti kajian saintifik yang sah tetapi hanya dialami oleh beberapa orang lalu dijadikan sebagai pantang larang yang mempengaruhi pemikiran manusia terutamanya orang Melayu.

Tahukah anda, tauge yang kerap kali menjadi pilihan terakhir untuk dijadikan sayur sebenarnya mempunyai banyak khasiat. Tauge dikatakan mampu menyumbang kepada kesuburan lelaki dan wanita. Pengambilan tauge oleh kaum lelaki mampu membuatkan sperma yang dihasilkan semakin baik. Begitu juga wanita, ia cukup berkesan membantu kesuburan telur yang dihasilkan.

Tambahan lagi, khasiat tauge tidak hanya sekadar penyumbang kepada kesuburan, ia juga terbukti melalui kajian mengandungi bahan yang dapat melumpuhkan bibit kanser, usus besar, pankreas dan juga penyakit leukemia.

Mengikut kajian-kajian saintifik yang dijalankan, tauge sama ada dari jenis kacang hijau, alfalfa dan sebagainya mengandungi banyak unsur fitokimia yang berkhasiat. Salah satunya ialah kanavanin (canavanine), sejenis asid yang amino. Kanavanin, dikatakan mampu melumpuhkan bibit kanser leukimia, usus besar dan pankreas.

Selain itu, tauge juga mempunyai estrogen semulajadi berfungsi sama dengan estrogen sintesis. Estrogen dalam taugeh dapat meningkatkan kepadatan dan susunan tulang, serta mencegah kerapuhan tulang (osteoporosis)

Pengambilan tauge oleh wanita secara kerap dapat membantu menghindar mereka dari kanser payudara, gangguan menjelang menstruasi,simptom pra-menopaus, dan gangguan akibat menopaus.

Sewaktu kacang-kacang dicambahkan untuk dijadikan tauge secara umumnya kadar saponinya meningkat sehingga 450%. Mereka yang berisiko penyakit strok dan serangan jantung, gara-gara kadar lemak darah yang tinggi dianjurkan lebih banyak mengambil tauge dalam menu harian mereka. Saponi dalam tauge, menghalau “lemak jahat” LDL, tanpa mengganggu kandungan lemak baik HDL.

Selain sarat DNA, tauge padat dengan antioksida kuat yang menghalang tubuh dari radikal bebas perosak sel DNA. Pelindungan ini menguatkan kesimpulan tauge merupakan sayuran yang membuat anda menjadi lebih muda.

Satu lagi khasiat tauge yang tidak kurang hebat adalah membantu membuang kotoran dalam usus besar kerana mengandungi banyak serat dan air. Inilah yang menjadi tunjang utama tauge dalam memerangi sel kanser.

Apabila kotoran meninggalkan usus besar, tiada lagi zat-zat racun dalam kotoran yang yang dapat diserap tubuh. Ia akan mencegah pengumpulan bahan beracun yang dapat merangsang berseminya benih kanser.

Selepas membaca kebaikan sayur tauge ini, janganlah ragu-ragu lagi untuk menjadikan taugeh sebagai menu istimewa anda….