Alangkah bahagianya jika apa yang kita kehendaki diperolehi.

Bayangkan bagaimana kehidupan kita semasa kecil di asuh dan di besarkan dibawah jagaan ibu dan bapa yang sangat-sangat memahami kehendak anaknya. Jika kita sebagai anak pada masa dulu tidak mengerti apa-apa kadangkala meminta ayah atau ibu belikan berbagai-bagai benda. Jika kita dibelikan apa yang kita hajati maka kita akan berkata “Sayang Ayah!”. Seronoknya bukan kepalang. Tetapi sekiranya kita tidak dibelikan apa yang kita kehendaki maka kita akan tunjuk perasaan dan akan melabelkan ayah kita sebagai kedekut dan tidak sayang pada kita. Tidak pula kita fikirkan kenapa ayah tidak belikan kita barang atau alat mainan yang kita kehendaki itu.

Semasa remaja kita belajar dan mempunyai cita-cita untuk menjadi itu dan ini. Sekali lagi kita akan berperangai seperti budak-budak sekiranya kita tidak memperolehi apa yang kita hajati. Tetapi kalau apa yang kita hajati itu diperolehi maka kita akan seronok bukan kepalang. Maka diceritakan kejayaan kita itu kepada ibu bapa, sahabat handai dan rakan taulan yang kita telah berjaya mencapai cita-cita.

Begitulah seterusnya kita berkelakuan tidak kira apa usia kita. Bentuknya sama sahaja, berasa sangat bahagia kalau apa yang kita kehendaki itu diperolehi dan merasa murung dan tidakpuas hati sekiranya perkara yang sebaliknya berlaku pada kita.

Bagi isteri pula, amat mengidam-idamkan mendapat suami yang boleh membahagiakan dirinya dan keluarganya. Bagaimanakah keadannya suami idaman yang membahagiakan itu? Secara kasarnya, suami idaman antara lain seorang yang bertanggungjawab, seorang yang memahami perasan isteri, bertolak ansur, tidak curang, menyayangi isteri dan anak-anak, seorang yang berada, seorang yang beragama, mempunyai pekerjaan yang stabil, memberikan nafkah zahir dengan sempurna, memberikan nafkah batin sepuas hati, mempunyai kedudukan dan sebagainya yang dianggap ‘mithali’.

Bayangkan jika suatu hari seorang suami  yang perangai tidak menepati kehendak isteri berubah dari yang merokok kepada berhenti merokok, dari seorang kaki botol berhenti minum, dari seorang kaki judi berhenti berjudi, dari seorang kaki ‘clubbing’ berada dirumah setiap malam, dari seorang yang tidak bertenaga batin menjadi kuat, dari tidak romantik menjadi romantik, dari seorang pengotor menjadi sukakan kebersihan, dari seorang yang suka membuang sampah merata-rata kepada kemas dan rapi, dari suka menengking isteri dan anak-anak kepada seorang yang berlemah-lembut, dari seorang yang suka mengarah itu dan ini kepada pandai berdikari, dari seorang yang tidak tahu beribadat kepada yang sukakan ibadat.

Bayangkan juga anda mendapat suami yang berubah dari hanya apabila dirumah suka menonton TV dan keterlaluan membaca akhbar kepada yang suka mengemas rumah, membersihkan rumah, mencuci pinggan mangkuk, mencuci kain baju. Yang memberikan kelapangan kepada isteri untuk menonton TV menikmati drama kesukaan atau menonton filem Hindi. Tidak cukup dengan itu sisuami membelikan DVD movie ‘soap opera’ Korea dan sebagainya untuk isterinya menonton.

Juga bayangkan suami anda seorang yang lemah lembut, mendengar apa yang anda ucapkan lalu berbincang dengan ramah-tamah bersama isteri. Selalu senyum bila dirumah dan kadangkala membuat anda ketawa dengan cerita-cerita kelakarnya. Semakin seronok jika suami anda mengingati hari lahir anda dan membuat kejutan dengan menghadiahkan sejambak bunga bila saja tiba hari ulangtahun perkahwinan. Tiba-tiba suami anda membuat kejutan dengan memberikan anda hadiah barangan kemas, perfume, kasut kulit berjenama, beg tangan berjenama, menghadiahkan pakej ‘spa’ atau menghadiahkan pakej pelancungan kepada anda.

Tentunya bahagia dirasa apabila semua yang isteri mahukan dari suaminya dipenuhi.

Tetapi, tidak semua yang isteri hajati dari suami diperolehi. Kadangkala isteri mendapat suami yang pendiam sehinggakan apabila berbual dengannya pun dirasakan bercakap sendirian. Kadangkala isteri mendapat suami yang kaki dakwah sehingga ditinggalkan keluarga berbulan-bulan keluar berdakwah. Kadangkala memperolehi suami yang mementingkan diri sendiri, setelah ‘puas’ ditinggalkan isteri ‘terkantung-kantung’ tidak kesampaian. Ada pula mendapat suami yang terlalu ‘aktif’ sehinggakan merisaukan isteri kerana siisteri tidak dapat ‘memenuhi’ kehendak suami itu. Tersiksanya jika siisuami hanya boleh sekadar sekali-sekala ‘mencelup’ terus ‘meletup’ lalu terkulai memalingkan diri kedinding tanpa berkata apa-apa.

Ada pula isteri yang mendapat suami yang sentiasa sakit keuzuran sehinggakan siisteri tidak sabar lalu mencari jalan untuk ‘melaksanakan’ hajatnya. Juga terdapat kisah suami yang sentiasa sibuk bekerja, outstation sana-sini sehinggakan hendak menatap wajah suami seminggu sekali pun payah. Apatah lagi jika memiliki suami yang tidak langsung menghiraukan hal anak-anak sehinggakan kesemua urusan rumahtangga hanya diuruskan oleh isteri. Lebih malang ada suami yang tidak mahu bekerja sebaliknya menadah tangan kepada isteri untuk mendapatkan wang buat membeli sekotak rokok. Tidak lupa juga malang bagi isteri yang mendapat suami yang kaki perempuan, berseronok suka jauh-jauh malam dan kadangkala tidak pulang kerumah kerana bermalam di rumah kekasihnya.

Begitulah asam garam kehidupan, kebahagiaan yang kita kehendaki tidak kita perolehi. Dari itu banyaklah isteri yang menunding tangan kepada suami, “Awak lah punya pasal menyebabkan rumahtangga kita kucar kacir!”, “Abang hanya pentingkan diri sendiri sahaja, tidak bertanggungjawab”, “Dimana janji-janji abang dahulu semasa kita bercinta?”, “Kenapa abang berubah?”. “Ini semua kerana betina keparat itulah..!” Dan berbagai-bagai lagi telunjuk menunding keatas kebawah, kiri dan kanan.

Jika di tenung dalam-dalam, kenapakah tuhan jadikan kita manusia berpasang-pasang, dilengkapi dengan pancaindera dan hartabenda juga diberikan akal fikiran dan tamsilan untuk kita mengambil iktibar. “Salah akukah atau salah dia?”

Kebahagiaan yang kita harapkan tidak kunjung tiba, sedangkan kita masih lagi berdoa kepada Tuhan untuk berikan kita  apa yang kita hajati tidak berhenti-henti.

Tidak pula kita fikirkan yang hidup kita tahun lepas telah berjaya mendapat kebahagiaan pada tahun ini, hidup kita semalam telah berjaya mendapat kebahagiaan pada hari ini. Kebahagiaan apa? Tanpa kita sedari kebahagiaan itu dianugerahi tanpa diundang. Itulah kebahagiaan mendapat sehari lagi hidup dengan berakal, boleh lagi berusaha dan boleh lagi berdoa sebelum ditarik roh dari badan. “Afala tatafakkarun..!”